Khamis, 7 Ogos 2008

Mengekalkan Kesegaran Boket

Boket daripada gabungan bunga segar pasti amat menarik untuk dijadikan sebahagian hiasan rumah. Walau bagaimanapun boket bunga segar lazimnya hanya bertahan beberapa hari. Sebenarnya mudah sahaja untuk mengekalkan kesegaran boket agar dapat bertahan lebih lama. Rahsianya ialah penyembur rambut. Sebelum anda menyusun bunga-bunga segar menjadi boket, semburkan terlebih dahulu di bahagian bawah bunga dan juga daunnya. Berhati-hati semasa menyembur dan pastikan ia berada pada jarak kira-kira 30cm. Mudah sahaja.

Minted Cucumber Lassi

1/4 timun dipotong dadu
10g daun pudina
125g yogurt asli
hirisan timun dan daun pudina untuk hiasan

Semua bahan (kecuali hiasan) dikisar hingga sebati. Kemudian masukkan ke dalam gelas yang telah dibubuhkan beberapa ketul ais. Hidangan yogurt ini sesuai diminum sejuk.

Rabu, 30 Julai 2008

Memilih Rak Panggang Yang Sesuai


Memanggang ikan tentunya lebih mudah sekiranya anda menggunakan rak panggang yang sesuai. Bagi mengelakkan ikan yang dipanggang melekat pada rak, sapukan minyak pada kedua-dua belah rak. Ikan juga perlu disapu dengan sedikit minyak. Pastikan, semasa memanggang, rak panggang sentiasa diterbalikkan supaya isi ikan tidak terlebih masak hingga menyebabkan ia kering. Rak panggang berbentuk ikan sesuai digunakan untuk memanggang ikan yang lebih besar. Rak panggang segi empat sesuai untuk memanggang ikan kecil dalam kuantiti yang banyak.

Madu dan Rosemary

Bahan cupcakes:
150g mentega (lembut)
100g gula kastor
4 sudu besar madu
3 biji telur
150g tepung naik sendiri
1 sudu besar hirisan rosemary

Bahan hiasan:
sedikit glace icing
sedikit pewarna oren
beberapa helai daun rosemary

Pukul mentega, gula dan madu hingga kembang. Masukkan telur dan tepung. Setelah digaul rata, masukkan hirisan rosemary. Masukkan adunan ke dalam acuan kertas dan bakar hingga kekuningan. Untuk membuat hiasan, warnakan glace icing dengan pewarna oren. Sapukan di atas cupcakes yang telah sejuk dan hiaskan dengan daun rosemary.

Isnin, 28 Julai 2008

Mengurangkan Rasa Masin Sup

Sekiranya anda terlebih garam dalam sup anda hingga menyebabkannya berasa masin, jangan risau kerana kentang boleh membantu anda. Bersihkan kentang dan potong dadu besar tanpa membuang kulitnya. Masukkan potongan kentang tadi ke dalam sup yang sedang mendidih. Biarkan kentang direbus selama kira-kira 10-15 minit atau sehingga kentang tadi empuk. Setelah itu keluarkan dan anda akan dapati rasa masin sup akan berkurangan.

Air Rebusan Telur Penuh Khasiat

Setiap kali anda merebus telur, jangan dibuang airnya. Siapa sangka air rebusan telur sebenarnya mengandungi nutrien yang boleh menyuburkan tanaman anda khususnya pokok bunga. Mudah sahaja. Air rebusan telur perlu disejukkan terlebih dahulu sebelum disiramkan pada pokok bunga berkenaan.

Menanggalkan Solekan

Terdapat pelbagai jenama dan jenis pembersih wajah yang boleh menanggalkan solekan. Ada yang mahal dan tidak kurang juga ada yang murah. Mengapa anda perlu berbelanja lebih hanya semata-mata percaya bahawa jenama sesuatu pembersih memainkan peranan dalam menentukan pembersih wajah yang baik, sedangkan pembersih yang sebenar-benarnya berkesan terdapat dalam bilik mandi anda sendiri! Cuba gunakan hair conditioner dan anda akan teruja betapa berkesan dan murahnya bahan ini.

Membersih Plat Besi Seterika

Tidak kira sejauh mana anda berhati-hati menyeterika pakaian harian, pasti akan ada sesuatu yang mencair dan melekat pada plat besi seterika. Cairan ini akan mudah mengeras dan menyebabkan permukaan plat besi seterika menjadi agak kasar. Bagaimana untuk membersihkan permukaan plat besi tersebut? Gunakan garam kasar. Pasangkan seterika anda hingga ke suhu yang tertinggi. Kemudian gosokkan seterika tadi di atas kertas yang telah ditaburkan dengan garam kasar hingga permukaan platnya kembali bersih.

Pankek dan Wafel Lebih Gebu

Pankek dan wafel tentunya enak dimakan bersama-sama madu atau ais krim. Namun keenakan hidangan ini akan lebih bertambah jika pankek atau wafel yang dihasilkan itu gebu. Mudah sahaja. Tambahkan sedikit air soda semasa menggaulkan adunan, dan anda akan menghasilkan pankek atau wafel yang gebu dan enak.

Isnin, 21 Julai 2008

Resepi Asas Cupcakes


125g mentega (dilembutkan)
125g gula kaster
2 biji telur sederhana
125g tepung naik sendiri
2 sudu besar susu

Panaskan ketuhar pada suhu 190 darjah C. Pukul mentega dan gula hingga kembang dan ringan. Masukkan telur, tepung dan susu. Gaul sebati semua adunan tadi. Tuangkan adunan ke dalam mangkuk kertas dan letakkan setiapnya ke dalam lubang bun tray. Bakar cupcakes tadi hingga masak. Cupcakes perlu disejukkan terlebih dahulu sebelum dihias.

Taugeh Segar Setiap Hari

Menyediakan taugeh segar setiap hari sebenarnya tidaklah sesukar yang disangkakan. Dengan menanam sendiri taugeh di rumah, pastinya akan menjimatkan perbelanjaan harian anda. Ini caranya. Rendamkan kacang hijau semalaman (lebih elok menggunakan mung beans). Toskan kacang yang telah kembang dan bilas bersih. Masukkan kacang tadi ke dalam sebuah balang besar dan tutup bahagian atasnya dengan kain muslin jarang. Simpan balang berisi kacang tadi di tempat yang mempunyai aliran udara dan jauh dari cahaya matahari. Setiap 2 kali sehari, masukkan air sejuk ke dalam balang, goyangkan dan buang semula air tersebut. Pastikan kain penutup balang ditukar setiap kali proses ini dilakukan. Dalam tempoh beberapa hari, taugeh boleh tumbuh 1-2 cm.

Cara Mudah Menyediakan Mayones

Masukkan 2 biji kuning telur, sedikit mustard dan sedikit jus lemon ke dalam mesin pengisar. Kisar bahan-bahan berkenaan pada kelajuan sederhana sambil menuangkan minyak masak (boleh juga gunakan minyak zaiton) sedikit demi sedikit sehinggalah adunan mayones menjadi pekat. Sekiranya anda mahukan mayones yang lebih cair, tambahkan sahaja minyak ke dalam adunan tadi.

Menapis Mentega


Kandungan lemak, air, protin susu, garam dan karbohidrat dalam mentega boleh diasingkan melalui proses pencairan dan penapisan. Mentega ini boleh disimpan selama 2 bulan di dalam peti sejuk, dan 3 bulan dalam petak sejuk beku. Caranya: 1) cairkan mentega pada suhu sederhana di atas dapur atau ketuhar gelombang mikro, 2) tapiskan cairan mentega di atas sehelai kain muslin, 3) simpan mentega yang telah ditapis dalam botol kedap udara.

Pilihan Sihat

Pisang mudah dibawa, mudah dikupas dan kaya dengan khasiat. Ia merupakan sumber utama potasium, zat besi dan pelbagai jenis vitamin. Amalkan memakan sekurang-kurangnya sebiji pisang setiap hari kerana amalan ini dipercayai boleh mengekalkan daya ingatan anda.

Ahad, 20 Julai 2008

Membersihkan Lantai Marmar

Anda tentunya terfikir bahawa marmar adalah sejenis batu, tetapi hakikatnya ia sebenarnya petrified calcium yang mudah kotor dan rosak. Menghilangkan kesan kotor pada marmar bukanlah kerja yang mudah dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Bagi anda yang ingin berjimat, gunakan sahaja hirisan lemon yang ditaburkan dengan garam kasar. Kemudian gosokkan kuat pada lantai yang kotor.

Sabtu, 19 Julai 2008

Baik Pulih Perabot

Perabot kayu sering kali menjadi sasaran kucing yang suka menggaru. Jangan bimbang. Krayon boleh membantu menutup kesan calar yang tidak diingini. Pilihlah warna krayon yang paling hampir dengan warna perabot berkenaan. Lembutkan krayon dengan menggunakan pengering rambut atau masukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro. Ingat jangan sampai krayon cair. Sapukan krayon lembut pada bahagian perabot yang calar, kemudian gosok dengan kain supaya krayon tadi merata pada permukaan perabot.

Hilangkan Bau Ikan

Ikan yang baru dibeli dari pasar tentunya berbau. Bagaimana hendak menghilangkan bau yang kurang menyenangkan itu? Ikutilah cara mudah ini! Rendamkan ikan-ikan berkenaan ke dalam 1 liter air yang telah dicampurkan dengan 2 sudu besar soda bikarbonat. Rendamkan selama 1 jam sahaja. Setelah itu, bersihkan ikan dan simpan di dalam peti ais seperti biasa.

Yogurt Vanila Velvet

200g/7oz yogurt asli
1 sudu teh esen vanila
1 sudu besar madu
jus 1/2 biji lemon
hirisan lemon & daun pudina (hiasan)

Gabungkan semua bahan (kecuali bahan hiasan) ke dalam mesin pengisar dan kisar bahan hingga halus. Tuang ke dalam gelas yang telah dibubuh beberapa ketul ais. Hias dengan hirisan lemon dan daun pudina.

Jumaat, 18 Julai 2008

Sayur Sejuk Beku

Sayur segar hendaklah dibersihkan dan dicelur sebelum disejukbekukan. Campurkan 2 sudu teh garam dalam 3 liter air untuk mencelur kira-kira 500g sayur.
Asparagus - celur selama 2-4 minit
Brokoli - celur selama 3-4 minit
Lobak merah - celur selama 2-3 minit
Bayam - celur selama 1 minit
Kubis bunga - celur selama 3 minit

Cara Mengekalkan Kesegaran Epal

Bagi mengelakkan buah epal berubah warna setelah dikupas kulitnya, rendam epal berkenaan di dalam mangkuk berisi air yang telah dicampurkan dengan perahan jus 1 atau 2 biji lemon.

Mana Nak Letak Lampu?

Lampu ialah suatu elemen yang boleh memperindah suasana sesuatu tempat. Menurut amalan feng shui, cahaya yang terang mengandungi tenaga atau chi yang boleh membawa tuah. Pastikan lobi pejabat dan ruang kerja anda sentiasa terang. Suasana yang terang mewujudkan keceriaan dan tentunya anda akan dapat bekerja dengan lebih baik.

Warna Pintu Dalam Feng Shui

Menurut pengamal Feng Shui, warna pintu utama memainkan peranan penting dalam menentukan corak kehidupan seseorang.
  • Pintu utama menghadap selatan - MERAH.
  • Pintu utama menghadap utara - BIRU.
  • Pintu utama menghadap timur - HIJAU.
  • Pintu utama nenghadap barat - PUTIH.

Khamis, 17 Julai 2008

Pankek Blueberry

Blueberry merupakan salah satu sumber antioksidan terbaik. Cubalah resepi mudah ini.

125g tepung naik sendiri
3 sudu makan gula kaster
1 sudu teh soda bikarbonat
1 biji telur
40g mentega (dicairkan)
350ml buttermilk
Parutan sebiji lemon
250g blueberry
sedikit minyak masak
sirap maple

Gaul rata tepung, gula dan soda bikarbonat. Pukul telur, mentega dan buttermilk hingga sebati. Gaulkan bahan kering dan bahan basah. Masukkan parutan lemon dan blueberry. Tinggalkan sedikit blueberry untuk dijadikan hiasan. Panaskan kuali dengan sedikit minyak. Tuangkan sesudu besar adunan dan biarkan setiap bahagian pankek masak hingga kekuningan selama 1-2 minit. Angkat dan hiaskan dengan lebihan blueberry tadi.

Rabu, 16 Julai 2008

Hilangkan Bau Kaki

Kaki yang berpeluh lazimnya mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan. Menggunakan stokin tidak akan dapat mengatasi masalah kaki berbau. Jangan risau. Ada cara yang mudah dan murah untuk menghilangkan bau kaki anda. Amalkan petua ini. Setiap pagi, rendamkan kaki anda di dalam air teh pekat yang suam selama kira-kira 20 minit. Setelah itu, bilas kaki anda dan bersihkan dengan sabun mandi.


Kek Enak



Nakkan kek yang anda beli sentiasa berasa enak? Simpan kek tersebut bersama-sama belahan buah epal. Epal membantu mengekalkan lembapan di dalam kek berkenaan.